KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kesal dengan penularan gambar di media sosial yang memaparkan sekumpulan anggota tentera memegang kain rentang dengan perkataan “Jangan Hina Nabi Kami”.

Bahagian Hal Ehwal Awam-J7 Markas ATM mengeluarkan kenyataan itu bagi menjelaskan penularan gambar tersebut di media sosial.

“Pihak ATM ingin menafikan tindakan tersebut kerana gambar yang disebar telah dimanipulasi dan dipalsukan,” kata kenyataan tersebut.

Menurut Markas ATM, pihaknya akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan bersesuaian.

“ATM menggesa semua pihak agar tidak lagi menyebarkan gambar tersebut bagi mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat umum.

“Pihak tertentu dinasihatkan agar tidak menjadikan ATM sebagai bahan propaganda negatif bagi memenuhi kepentingan peribadi mahupun kumpulan tertentu” tegas kenyataan itu. – MalaysiaGazette