Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdagangan Malaysia bagi Januari 2019 berkembang 2.1 peratus tahun ke tahun kepada RM159.3 bilion berbanding tempoh yang sama 2018, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan hari ini MITI berkata, eksport mencatatkan peningkatan 3.1 peratus kepada RM85.41 bilion, manakala import tumbuh satu peratus kepada RM73.89 bilion yang menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM11.52 bilion, 19.2 peratus lebih tinggi berbanding Januari 2018.

Ini merupakan lebihan dagangan bagi bulan ke-255 berturut-turut sejak November 1997.

Menurut MITI, peningkatan eksport bagi Januari didorong terutamanya daripada sektor pembuatan dan perlombongan yang masing-masing naik 2.9 peratus dan 23.5 peratus.

“Perdagangan dengan ASEAN pada Januari pula susut 2.2 peratus kepada RM41.97 bilion berbanding Januari 2018, manakala eksport tumbuh 3.4 peratus kepada RM24.98 bilion dan import berkurangan 9.6 peratus kepada RM16.99 bilion.

Perdagangan dengan China bertambah 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM28.92 bilion, manakala eksport meningkat 9.1 peratus kepada RM11.02 bilion dan import naik 17.5 peratus kepada RM17.9 bilion,” katanya.

Menurut MITI, perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) turun 1.5 peratus tahun ke tahun kepada RM15.29 bilion. Eksport ke EU pula merekodkan pertumbuhan 4.3 peratus kepada RM8.73 bilion pada Januari, manakala import menguncup 8.2 peratus kepada RM6.56 bilion.

Bagi barangan, eksport ke EU yang lebih tinggi disumbangkan oleh barangan perkilangan khususnya produk elektronik dan elektrik (E&E), produk berasaskan minyak sawit, peralatan pengangkutan, tekstil, pakaian dan kasut.

Jumlah perdagangan dengan Amerika Syarikat pula mencatatkan peningkatan 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM13.29 bilion, manakala eksport adalah 9.4 peratus lebih tinggi kepada RM7.95 bilion dan import menyusut 5.9 peratus kepada RM5.33 bilion, menurut kementerian itu.

Menurut MITI, perdagangan dengan Jepun merosot 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM11.51 bilion, manakala eksport turun lima peratus kepada RM6.67 bilion dan import pula merekodkan pertambahan 2.9 peratus kepada RM4.85 bilion.

Pada Januari, pasaran lain yang menyaksikan pertumbuhan ketara bagi eksport adalah Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu eksport ke Taiwan merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 22.3 peratus tahun ke tahun kepada RM2.84 bilion, disokong terutamanya oleh eksport barangan E&E yang lebih tinggi.

Eksport terhadap UAE berkembang 32 peratus kepada RM896.9 juta berikutan eksport barang kemas yang meningkat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast