Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak menjadi ‘lebih Melayu’ seperti UMNO, BN.

Mesej berbaur nasihat itu datang dari Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP itu ekoran kekalahan calon PH dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih pada 2 Mac lalu.

Beliau dalam satu kenyataan terbaharu dalam Facebook berkata, beberapa pemimpin PH yang mula ketakutan akibat kekalahan itu menggesa supaya mereka menjadi lebih Melayu (mengutamakan Melayu).

“Dalam erti kata lain mereka (pemimpin PH) mahu PH menjadi lebih UMNO (daripada UMNO sebenar) atau mungkin juga lebih Pas daripada Pas sebenar,” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Tambah Ronnie, ia akan menjadi satu kesilapan terbesar sekiranya PH atau parti sekutunya mengikuti haluan tersebut.

Kata pemimpin DAP itu, PH menang PRU-14 dan mendapat mandat rakyat disebabkan mesej pluralistik yang dibawa kepada rakyat jelata.

“Sebarang tindakan meniru BN hanya kerana kita kalah di Semenyih Sabtu lalu sebenarnya boleh membawa padah. Ia juga bertentangan dengan dasar sebenar yang diperjuangkan PH selama ini,” ujarnya.

Malahan pemimpin itu mencadangkan kepada PH, daripada terus mengikuti agenda etnosentrik, PH seharusnya memberi fokus kepada agenda negara yang mana membantu rakyat berasaskan keperluan dan bukannya berasaskan kaum.

“Apabila kamu mempunyai agenda rakyat Malaysia bermakna ia mendefinasikan bahawa kamu membantu Melayu kerana Melayu juga sebahagian besar dalam masyarakat negara ini.

“Kalau kamu mempunyai program tindakan afirmatif yang direka untuk membantu mereka yang memerlukan, kamu juga akan membantu semua Melayu yang memerlukan termasuk bantuan keada bukan Melayu.

“Jadi apa masalah dengannya, bukankah lebih baik mengangkat masyarakat dalam konsep menyeluruh berbanding segmen tertentu sahaja (Melayu),” soal beliau lagi. – MalaysiaGazette