Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk merapatkan jurang antara wilayah sebagai agenda utama dalam tiga tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-11 dan tidak akan membiarkan mana-mana negeri tertinggal ke belakang.

Bagi mencapai matlamat ini, Menteri Hal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan melawat negeri-negeri untuk memeterai kerjasama erat dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Lawatan itu mulai esok sehingga 8 Mac ini.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, selaku Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Azmin akan mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan dan membentangkan beberapa kertas cadangan dan pelaksanaan program pembangunan ekonomi negeri itu.

Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam perkara ini penting untuk memastikan usaha pembangunan fizikal dan sosial ke seluruh Kelantan dapat memberikan impak yang optimum kepada negeri dan rakyatnya.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan berkembang 4.9 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2017 berbanding pertumbuhan nasional sebanyak 5.1 peratus.

Pada tahun 2017, ekonomi Kelantan telah menyumbang 1.8 peratus kepada KDNK nasional.

Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan terus komited untuk menyuntik pertumbuhan dinamik di Negeri Kelantan dan kesejahteraan kepada rakyatnya.
– MalaysiaGazette