Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga saham-saham di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, seiring prestasi pasaran serantau selepas kerajaan China mengumumkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara itu yang lebih rendah, kata seorang peniaga.

Pada 9.01 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.16 mata kepada 1,683.83 daripada 1,693.99 yang dicatatkan pada Isnin.

Indeks itu dibuka berkurangan 11.8 mata kepada 1,682.19.

Di pasaran secara amnya, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 117 berbanding 78 manakala 128 kaunter tidak berubah, 1,546 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 55.91 juta saham yang bernilai RM28.26 juta.

Menurut peniaga itu, prestasi saham Asia dipengaruhi oleh kenyataan kerajaan China yang mengurangkan sasaran pertumbuhan ekonomi kepada 6 peratus (daripada 6.5 peratus) selain berdepan cabaran susulan pertikaian perdagangan dengan Amerika Syarikat yang berlanjutan.

“Kami menjangkakan pelaburan yang masuk ke Malaysia dan pasaran ekuiti akan turut berkurangan berikutan semakan semula sasaran pertumbuhan China serta pertikaian perdagangannya dengan Washington yang berterusan,” kata peniaga itu.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank tidak berubah pada RM9.54, Public Bank rugi enam sen kepada RM24.56, Tenaga turun 16 sen kepada RM12.80 namun Petronas Chemicals untung satu sen kepada RM9.20.

Bagi saham aktif, Thrive Property merosot setengah sen kepada 1.5 sen, Dayang Enterprise menokok satu sen kepada RM1.37 manakala Dynaciate Group dan Vivocom Intl masing-masing tidak berubah pada 9.5 sen dan dua sen.

Indeks FBM Emas turun 54.24 mata kepada 11,712.37, Indeks FBM Emas Shariah susut 55.18 mata kepada 11,633.11 dan FBMT 100 merosot 63.31 mata kepada 11,563.54.

Bagi Indeks FBM Ace, ia menokok 8.7 mata kepada 4,690.20 dan FBM 70 sebaliknya turun 49.39 mata kepada 13,906.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 38.21 mata lebih kepada 17,684.01, Indeks Perladangan menambah 2.65 mata kepada 7,268.65 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.04 mata kepada 167.90.

— BERNAMA