Jadon Sancho. Foto The Independent.

LONDON – Pemain muda Jadon Sancho kini menjadi rebutan kelab terkemuka dunia antara Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG), lapor Daily Mail.

Malah The Red Devils mula mengorak langkah apabila bersedia untuk menjadikan Sancho yang berusia 18 tahun itu sebagai pemain muda paling mahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Dia menarik minat pengurus sementara United, Ole Gunnar Solskjaer selepas mempamerkan aksi luar biasa bersama Borussia Dortmund kerana telah menjaringkan sembilan gol dalam 14 aksi Bundesliga musim ini.

Pemain sayap itu masih mempunyai kontrak sehingga 2022 tetapi Dortmund dikatakan tidak akan menjual pemain tersebut.

Pendahulu Bundesliga itu mengikat Sancho dari Manchester City pada 2017.

Setakat ini, perpindahan pemain Inggeris paling mahal adalah Kyle Walker yang diikat City pada tahun 2017 dengan harga 53 juta pound (RM285 juta).

Sancho kini dianggarkan bernilai 100 juta pound (RM538 juta) lebih kurang harga yang dibayar PSG ketika mendapatkan Neymar (198 juta pound) sebelum ini .- MalaysiaGazette