Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rais Hussin Mohamed Ariff yang tidak senang dengan ‘perkahwinan’ UMNO dan Pas melabelkan ia sebagai perhubungan ‘sumbang mahram’.

Beliau menyatakan dengan penyatuan itu- UMNO dan Pas  berlandaskan selera mereka terhadap penipuan, korupsi, kemewahan dan pencurian.

Rais melihat penyatuan itu melalui kaca mata dan survival politik kepartian semata-mata.

Memandangkan tidak ada hujah yang jelas dan kuat, beliau memilih pendekatan jelik iaitu membalut semua perkara dengan memetik konteks dan hukum agama yang dengan tegas dan jelas tidak terpakai.

“Saya tidak pasti sejauh mana beliau (Rais) sedar dan faham akan hukum tindakan memanipulasikan hukum agama sebagai analogi politik yang terpesong dari konteks yang sesuai. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal,” kata Naib Presiden Pas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, UMNO dan Pas baru duduk berbincang dan bertentang mata di pentas umum tetapi nampaknya Bersatu pula yang terlebih ghairah sampai mengelamun hingga ke kamar kelamin dan aksi atas katil pengantin.

“Penyatuan UMNO-Pas bukan sumbang mahram. Ia adalah pembukaan lembaran baharu terhadap usaha rentas parti bagi mengupayakan bangsa kita. Agar seterusnya berlaku kerjasama dan penyatuan Melayu-Islam dalam pelbagai bidang,” kata Mohamed Khaled.

Baginya, tindakan Rais sangat tidak berhikmah dan menunjukkan ketidakfahaman yang kronik dalam PPBM terhadap senario politik jangka panjang Melayu – Muslim di negara ini.

“Rais pastinya enggan melihat penyatuan UMNO dan Pas dalam konteks yang lebih besar kerana dia tahu dampak penyatuan ini pada Bersatu dan jangan heret analogi sumbang mahram yang tidak kena itu. Rais mesti fikirkan kembali tentang perpecahan kuasa politik Melayu-Islam dan masa depan orang Melayu.

“Jangan tanya mengapa penyatuan ini baru berlaku sekarang. Lihat dan fikir sendiri tentang realiti hari ini. Di manakah silap ibu mengandung, apabila bangsa yang sama agama, budaya dan bahasa, seakan dua arus selari tetapi enggan bertemu.

“Sekarang UMNO dan Pas telah menemui formula yang ampuh untuk memandu kebangkitan orang Melayu di tanah mereka sendiri. Nasionalisme Melayu, dipacu dengan agama Islam serta penekanan terhadap kepentingan pendidikan dan ekonomi akan terus menjadi penyelesaian kepada permasalahan mendatang,” katanya.

Menurutnya, kalau kita guna analogi terdesak seperti Rais, Bersatu tidak ubah seperti janda UMNO yang kini menjual maruah dan meniduri lelaki lain secara beramai-ramai semata-mata agar bekas suaminya dapat dibunuh dan tidak dapat berkahwin dengan orang lain.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.