Lokasi di Gunung Raya tempat mayat kanak-kanak dipercayai Nur Aisyah Aleya Abdullah ditemui.

LANGKAWI – “Memang kami pernah dengar tangisan kanak-kanak…kadang kala awal pagi sekitar 1 pagi pun masih lagi kedengaran,” kata seorang jiran kepada pasangan suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Gunung Raya, di sini hari ini.

Mohd Faizal Zakaria, 49, berkata beliau mula mendengar tangisan kanak-kanak dari kediaman pasangan itu di tingkat tiga kuarters Hospital Langkawi itu sejak pertengahan bulan lepas.

“Pernah rasa nak naik tengok tetapi tidak jadi kerana kami pun tahu mereka (pasangan suami isteri) itu memang ada empat orang anak termasuk seorang perempuan yang masih kecil.

“Lagipun di blok ini memang ada beberapa rumah lagi yang ada anak-anak kecil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kuarters itu di sini.

Polis hari ini menemui mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah, yang dilapor hilang oleh ibunya Ahad lepas, di dalam gaung di Gunung Raya di sini.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemui setelah seorang lelaki berusia 37 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan kanak-kanak itu, membawa polis ke lokasi mayat Nur Aisyah Aleya dibuang.

Polis menahan pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun di Ampang, Kuala Lumpur petang semalam dan pasangan itu dibawa ke Langkawi pagi ini untuk membantu siasatan.

Mohd Faizal, yang tinggal di tingkat dua kuarters blok G itu, berkata beliau secara peribadi tidak mengenali pasangan terbabit, namun ada bertegur sapa jika berjumpa di kawasan kuarters itu.

“Perwatakan lelaki itu pun nampak ok, sering kali saya nampak dia pergi hantar dan ambil pulang isterinya yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Langkawi. Kali terakhir saya jumpa dia minggu lepas,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast