COO Felcra Khairi Mahamor membuat penerangan pada sesi latihan di ladang sempena Siri Kembara di Felcra Berhad Projek Kampung Serambi, Pekan, Pahang pada 2 Mac lalu.-pix ihsan Felcra.

KUALA LUMPUR – Nasib Ketua Pegawai Operasi (COO) Felcra, Khairi Mahamor yang menengking pekerja seperti yang tersebar dalam satu video di media-media sosial semalam akan ditentukan oleh ahli lembaga pengarah agensi itu, esok.

Menurut Pengerusi Felcra, Datuk Nageeb Wahab, perbuatan Khairi itu sebenarnya adalah perkara biasa di ladang.

Bagaimanapun beliau tidak cuba untuk menegakkan benang yang basah dengan mengatakan perbuatan COO itu tidak salah.

“Kalau anda biasa kerja di ladang (menengking) adalah perkara biasa cuma mungkin itu cara dia (Khairi) dan penerimaan orang sekarang (yang tidak boleh menerima perbuatan tersebut).

“Walau apa pun, saya tidak mengatakan kami betul cuma perkara ini akan dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah untuk tindakan selanjutnya,” katanya selepas sidang media
mengenai penghantaran memorandum bantahan terhadap negara-negara Eropah yang melarang kemasukan kelapa sawit ke negara berkenaan di sini hari ini.

MGF06032019_Perbincangan Strategic Way Foward_04
Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nageed Wahab bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perbincangan Strategic Way Foward Hadapi Kempen Anti Sawit Oleh Negara-Negara Kesatuan Eropah di Wisma Felcra, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 MAC 2019

Ketika ditanya mengenai nasib individu yang mengambil video berkenaan, Nageeb berkata, tiada tindakan yang akan diambil kepadanya.

Menurut Nageeb, ia merupakan kali pertama video pegawai Felcra memarahi pekerja diambil dan ditularkan di media sosial.

Terdahulu, Felcra menerusi Twitter rasminya memuatnaik satu klip video seorang pekerja wanita yang dipercayai sebagai salah seorang pekerja yang ditengking Khairi memberi penjelasan.

Menurutnya, corak pengajaran sebegitu adalah biasa untuk pekerja-pekerja dalam industri peladangan.

Katanya, hanya orang luar yang tidak biasa dengan persekitaran kerja industri peladangan sahaja menjadikan video tersebut sebagai isu besar sedangkan bagi pekerja di ladang termasuk golongan wanita, perkara tersebut bukan satu masalah.

“Semasa lawatan tersebut, beliau (Khairi) nampak buah sawit kurang masak lebih banyak berbanding yang masak.
“Ini bermakna ia akan menyebabkan kerugian.

“Itu sahaja isunya. Bagi pekerja ladang, itu adalah cara mengajar,” katanya.

Dalam media sosial yang sama juga turut dimuatkan video sisi lain COO tersebut membuat penerangan tanpa sebarang insiden tengking menengking.

Dalam kiriman Twitter lain, Felcra berkata kejadian itu berlaku dalam sesi latihan di ladang sempena Siri Kembara di Felcra Berhad Projek Kampung Serambi, Pekan, Pahang pada 2 Mac lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast