Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Selepas sehari mengumumkan jalinan kerjasama secara rasmi demi penyatuan ummah, Pas berjanji akan membantu UMNO memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK DUN) Dewan Undangan Negeri (Rantau) pada 13 April ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yakin Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan akan kekal sebagai calon dan diberi mandat oleh pengundi di Rantau.

Jelas beliau, ini berdasarkan rekod perkhidmatan beliau yang cemerlang, bukan saja kepada DUN Rantau malah seluruh rakyat Negeri Sembilan.

“Ia merupakan kewajipan mandatori Pas selaras dengan taawun siyasi yang telah termeterai.

“Pas akan menggabungkan jentera pilihan raya di peringkat kawasan Rembau dan Negeri Sembilan dengan Jentera Pilihan Raya UMNO bagi memastikan semua gerak kerja kedua-dua parti berjalan lancar dan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 April depan sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Rantau.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon adalah 30 Mac sementara hari mengundi awal pada 9 April

Semalam, PAS dan Umno secara rasmi memeterai kerjasama dan kedua parti juga setuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan butiran kerjasama mereka.

Sementara itu, Mohamad diumum menang tanpa bertanding pada PRU-14 selepas pegawai pengurus pilihan raya melarang pencabarnya, Dr S Streram daripada PKR memasuki dewan penamaan bagi menyerahkan borang.

Bagaimanapun mahkamah pilihan raya pada Nov lalu memutuskan kemenangan itu tidak sah dan terbatal, serta mengarahkan pilihan raya diadakan semula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast