Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Tindakan pemimpin UMNO dan Pas yang menggambarkan ikatan mereka sebagai sudah ‘berkahwin’ bukanlah atas ‘dasar cinta’ semata-mata.

Sebaliknya, perjanjian kepimpinan kedua-dua parti tersebut membabitkan pampasan kewangan yang melibatkan pembayar dan penerima yang melakukannya dengan rela hati, kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Walaupun bertahun-tahun dinafikan oleh pemimpin dari kedua-dua pihak tetapi kini telah sah bahawa kedua-dua sebenarnya satu barisan.

“Kedua-dua pihak ini seolah-olah lebih peduli dengan bersusah-payah untuk kuasa politik, cuba membela dosa terdahulu dan cuba mencetuskan perasaan perkauman.

“Kedua-dua pihak juga hanya menyediakan retorik tanpa sebarang alternatif yang jelas, dan telah menjadi lebih seperti parti politik kenegerian, dan bukannya bersifat nasional,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Nik Nazmi yang juga Setiausaha Pengelola PKR berkata, bekas pemimpin parti tersebut, seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Dr Burhanuddin Helmy, Datuk Fadzil Noor dan Allahyaraham Nik Abdul Aziz Nikmat bukan sahaja bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum, malah, turut mempunyai taraf integriti yang tinggi.

Malah katanya, tindakan pemimpin UMNO dan Pas hari ini yang menyifatkan mereka telah yang ‘berkahwin’ berpaling dari semangat serta warisan tokoh-tokoh lama mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast