Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan. -BERNAMA

KOTA BHARU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin gabungan kerjasama antara UMNO dan Pas tidak akan berjaya disebabkan UMNO sudah lagi tidak diterima rakyat di negara ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tidak mungkin rakyat akan memberikan sokongan terutama kepada UMNO yang sudah menyebabkan kerosakan besar dalam negara terutama berkaitan rasuah.

“Strategi politik dan gabungan antara UMNO dan Pas itu pilihan mereka, tapi yakinlah rakyat sudah membuat keputusan dengan menolak UMNO pada pilihan raya umum lalu.

“Bagaimana parti yang ditolak rakyat ini boleh bergabung pula dengan Pas tetapi itu adalah pilihan mereka untuk bergabung,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Kelantan, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Kelantan Supardi Md Noor.

Semalam, UMNO dan Pas secara rasmi mengumumkan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti bagi tujuan penyatuan ummah.

Bagaimanapun kerjasama itu bukan bermaksud UMNO dan Pas bergabung, sebaliknya satu ikatan untuk menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum Cina dan India.

Sementara itu Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi yakin tidak akan berlaku undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad pada sesi Parlimen yang akan bermula 11 Mac ini.

Beliau berkata sewajarnya semua pihak patut menyokong sepenuhnya kepimpinan Mahathir bagi memulihkan keadaan negara dan seterusnya memperkukuh ekonomi.

“Rakyat sudah memberikan mandat besar dan mahukan kerajaan Pakatan Harapan terus kukuh untuk memulihkan ekonomi negara dan banyak lagi yang kami perlu buat untuk itu,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.