BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja lelaki cedera parah di perut, betis dan pergelangan tangan selepas ditikam serta dikelar teman lelaki kakaknya dalam satu pergaduhan di rumah keluarga mangsa di Taman Seri Kijang, di sini malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis mendapat maklumat berlaku pergaduhan membabitkan dua lelaki di rumah itu pada pukul 10 malam sehingga menyebabkan mangsa Ng Zi Wei,18, yang juga seorang pelajar, cedera parah.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, punca kejadian dipercayai berikutan perasaan tidak puas hati mangsa terhadap suspek berusia 20 tahun itu yang juga teman lelaki kakaknya, kerana tinggal menumpang di rumah keluarga mangsa.

“Remaja itu tidak menyukai suspek yang tinggal menumpang di rumah mereka dan pada malam kejadian, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum lelaki berkenaan mengambil parang dan rotan sebelum menyerang mangsa sehingga dia mengalami kecederaan parah. Semasa kejadian ayah mangsa ada di rumah dan dia berjaya meleraikan pengaduhan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya lelaki yang menyerang mangsa itu berjaya ditahan bapa remaja berkenaan sebelum menyerahkan kepada polis. Polis turut merampas parang serta rotan digunakan dalam kejadian tersebut.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan siasatan, parang dan rotan yang digunakan lelaki itu dalam pergaduhan berkenaan dibawa suspek dari rumahnya di Parit Buntar, Perak, kerana mangsa dikatakan beberapa kali cuba memukulnya.

Katanya mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut berikutan kecedaraan parah yang dialaminya namun dia dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Menurut doktor yang merawat mangsa, remaja itu mengalami kecederaan luka kelar di bawah perut sebelah kanan panjang 10 sentimeter dengan kedalaman kira-kira dalam 2 cm, luka yang dalam di betis kanan dan luka dalam di pergelangan tangan kiri,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA