KUALA LUMPUR – Tidak ada larangan dan diskriminasi untuk pelajar yang tidak divaksin ke sekolah, menurut Kementerian Pendidikan.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata meskipun isu vaksin adalah penting namun ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan .
“Kerajaan mengutamakan pendidikan kepada semua kanak-kanak dan tidak akan menutup pintu kepada sesiapa untuk mendapatkan akses pendidikan.
Ini adalah kerana vaksin dan juga hak kepada pendidikan adalah dua isu yang berbeza. Isu vaksin adalah isu Kementerian Kesihatan.
“Manakala di pihak KPM pula, kita berpendapat semua anak warganegara mempunyai hak dan perlu diberikan akses pendidikan tanpa diskriminasi.
“Sekali lagi saya ingin menegaskan, saya percaya vaksin adalah penting kepada semua anak-anak kita, tetapi dalam masa yang sama KPM komited untuk memastikan hak pendidikan kepada semua anak-anak dipenuhi dan dipelihara,” katanya di Facebook hari ini.
Maszlee juga menyifatkan laporan berita yang disiarkan berdasarkan jawapannya setelah diajukan oleh wartawan semalam berhubung vaksin telah diputarbelit.
“Saya berharap penjelasan ini memberi sedikit penerangan mengenai kenyataan saya yang disalahtafsir oleh portal Berita Harian semalam. Portal tersebut bukan sahaja menggunakan headline yang mengelirukan bahkan salah sama sekali,” katanya lagi.
Terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di Johor Bahru, Johor, dengan Kementerian Kesihatan memaklumkan kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria sejak dilahirkan.
Kemudian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Jumaat lalu berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang sudah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenar memasuki sesi persekolahan.- MalaysiaGazette