Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan bertindak menutup dua buah sekolah di Pasir Gudang Johor selama tiga hari bermula hari ini susulan berlakunya kejadian kebocoran gas berhampiran sekolah terbabit.

Menerusi kenyataan kementerian itu berkata, dua buah sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pasir putih.

“Sehingga jam 5 petang tadi, seramai 28 orang murid dari kedua-dua sekolah terbabit telah dimasukkan ke hospital dan klinik berhampiran untuk rawatan.

“Seramai 19 orang telah di hantar ke Hospital Sultan Ismail(HSI) manakala dua lagi dirawat di Hospital Penawar serta tujuh lagi di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 16 orang masih ditahan diwad iaitu sembilan murid sekola hmenengah dan tujuh orang murid sekolah rendah manakala murid-murid lain telah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pengurusan sekolah atas nasihat Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang serta berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard SOP) juga telah mengarahkan kesemua murid supaya mengosongkan sekolah.

Malah, ibu bapa dan penjaga juga turut dimaklumkan agar mengambil anak masing-masing dari sekolah serta menggesa mereka memastikan keselamatan jika berkenderaan sendiri sewaktu pulang ke rumah.

Tambah kenyataan itu, JPN Johor juga akan memantau dengan rapi keadaan dikedua-dua buah sekolah terbabit dan sekolah-sekolah lain di kawasan berhampiran serta akan memutuskan sama ada keputusan menutup perlu dilanjutkan sehingga ke hari Ahad ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun ujarnya, keputusan itu hanya akan dibuat berdasarkan nasihat daripada pihak yang berwajib. – MalaysiaGazette