Mendiang Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan

KUALA LUMPUR – Adalah sesuatu yang sungguh aneh dan tidak masuk akal apabila DAP sanggup bergabung selain duduk semeja dan tidur sebantal dengan Pas dengan agenda mahu menguasai Putrajaya ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Namun apabila agenda itu menjadi kenyataan dan apabila Pas tidak lagi mahu bersekongkol dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH), parti berteraskan Islam itu diserang tidak henti-henti.

Pada hari-hari terakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, fitnah mula ditabur membabitkan pembayaran luar mahkamah kepada Editor Sarawak Report, Clare Recastle Brown oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kini selepas jalinan kerjasama UMNO dan Pas diumumkan, semakin menjadi-jadi kenyataan ‘tidak sayang mulut’ oleh kebanyak ahli politik PH yang jelas sekali ‘menggelabah’ dengan kerjasama demikian.

Itu luahan oleh Presiden  Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M Sambathan kepada MalaysiaGazette berhubung sindiran serta kenyataan berbaur hasutan dilontarkan oleh pimpinan PH.

“Saya sebenarnya rasa sungguh aneh sekali dengan kelakuan Setiausaha Agung DAP ini. Lim Guan Eng sepatutnya menutup mulutnya daripada memberikan apa-apa pandangan berhubung Pas.

“Ini kerana satu ketika dulu, walaupun mendiang Karpal Singh seringkali bercakaran dengan Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung hukum hudud, masing-masing sering berbalah pendapat dan pada masyarakat umum ianya nampak sungguh ikhlas kerana prinsip perjuangan parti masing-masing.

“Tapi pada masa sama, ketika masih menjadi blok pembangkang, anda semua boleh pula menjadi kawan politik, boleh bergabung, boleh bersefahamaan serta berkawan. DAP boleh sahaja terima mereka kerana ketika itu terdesak mendapatkan undi orang Melayu.

“Tapi kini bila Pas sudah bersendirian dan mahu menjalinkan kerjasama itu dengan UMNO dan BN, kini PH pula membuat bising. Masa itu mengapa boleh? Bagaimana pula dengan parti Amanah yang kini sebahagian PH? Bukankah itu serpihan daripada Pas?

“Sebenarnya Guan Eng ini bukan sahaja celupar tetapi hakikatnya tidak sedar diri, untuk kepentingan sebelum ini, semuanya boleh dan halal sahaja. Tapi kini semuanya salah dan haram, sudah-sudahlah Guan Eng. Awak sudah ada kuasa, pengalaman juga banyak, sampai bila mahu main politik ‘murahan’ ini,” katanya.

Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara membidas Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berhubung penggunaan perkataan ‘perang’ kepada bukan Melayu dengan merujuk kerjasama antara UMNO-Pas.

Bagaimanapun, Guan Eng kemudian mengubahnya malam tadi, namun beliau terus dikritik bukan sahaja oleh ahli politik UMNO dan Pas, tetapi juga daripada BN.

Malah MCA sendiri bertindak menjauhkan diri sehingga Guan Eng menyoal mengapa parti komponen BN itu tidak mahu membantu ‘membelanya’.

Tidak cukup dengan itu, warganet daripada pelbagai kaum serta latarbelakang turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan Guan Eng yang seolah-olah tidak berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan pengisytiharan perang itu.

Kata Sambathan lagi, seandainya kenyataan seperti itu dikeluarkan oleh rakyat biasa mahupun daripada pakatan pembangkang, sudah pasti mereka akan disumbatkan dalam penjara atau didakwa atas tuduhan menghasut.

“Tidak apa kerana beliau adalah Menteri. Senanglah untuk ubah dan buat pusingan ‘U’. Jangan main cakap Guan Eng, parti awak dulu sendiri pernah ‘mengemis’ meminta bantuan Pas bagi undi. Sudah lupa?

“Kenapa sakit dan cuba membawa isu perkauman dalam perkara ini? Kenapa mahu cakap begini terhadap yang bukan Melayu dan Islam? Apa sebenarnya tujuan anda? Jangan asyik main politik.

“Kamu sudah ada kuasa, rakyat mahu kamu tunai janji, buat sahaja yang itu. Usah risau tentang gabungan atau kerjasama ini, jika kamu ada sokongan tidak berbelah bahagi, usah risau jangan gentar atau takut.

“Jangan keluar lagi kenyataan atau perkataan seperti ini, awak bukan lagi pembangkang. Jangan lupa rakyat nampak semuanya,” katanya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/07/kenyataan-paling-tidak-bijak-dari-guan-eng/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/07/kenyataan-guan-eng-dikhuatiri-cetus-malapetaka-seng-giaw/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/07/tiada-beza-perang-atau-sasaran-guan-eng-digesa-minta-maaf/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/07/saya-rasa-saudari-tidak-baca-kenyataan-terbaharu-saya-guan-eng/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/07/perkasa-beri-amaran-dap-jangan-tiup-api-perkauman/