KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai ketua pembangkang yang baharu di Parlimen.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memberitahu pelantikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai menggantikan peranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, pelantikan itu juga telah dipersetujui oleh semua Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan pemilihan Ismail itu juga adalah berdasarkan kedudukannya di dalam parti
“Oleh sebab itu jawatan ketua whip yang dipegang oleh Datuk Seri Ismail Sabri kita serah kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC di sini hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat sesi akan datang dijadualkan bermula 11 Mac hingga 11 April depan, iaitu selama 20 hari.
Pemakluman mengenai Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen ke-14 itu dinyatakan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof baru-baru ini.
Mohamad Hasan berkata, pelantikan Ismail itu juga sudah diamklumkan kepada Ahmad Zahid sebelum ini.
Malah, ketika ditanya sama ada perkara tersebut turut diamaklumkan kepada bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Mohamad berkata, tidak ada keperluan untuk UMNO berbuat demikian.
Sementara itu, Mohamad berkata, UMNO kini menubuhkan Jabatan Pilihan Raya sendiri yang berperanan menganalisa apa sahaja gerakan bagi menyiap sediakan jentera parti di peringkat bawah.
Katanya, penubuhan jabatan itu juga adalah bagi menyusun strategi dalam menghadapi sebarang pilihan raya.
Banyak perangkaan-perangkaan yang perlu kita kutip, kaji selidik yang perlu kita buat dan bermacam lagi menerusi jabatan ini.,” ujarnya. – MalaysiaGazette