umno
Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – UMNO memberi jaminan bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan Pas sebaliknya hanya menjalinkan hubungan kerjasama demi penyatuan ummah.

Perkara itu ditegaskan, Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memberitahu, kerjasama dijalinkan oleh UMNO dan Pas itu juga tidak akan menjejaskan kaum lain serta tidak mengikat kedua-dua parti.

“Saya hendak beritahu bahawa agenda penyatuan ummah ini adalah untuk mencari kebaikan dan tidak meminggirkan sesiapa, terutamanya yang bukan Islam dan bukan Melayu.

“Ini merupakan strategi untuk kita bekerjasama bagi memudahkan kedua-dua parti beroperasi dan mengatur strategi demi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC di sini hari ini.

Mohamad yang menjalankan tugas-tugas presiden UMNO berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas itu juga akan dibawa ke mesyuarat Barisan Nasional (BN) esok.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC akan merestui keputusan yang dibuat oleh UMNO itu.

Bagaimanapun tambahnya, beliau tidak merasakan bahawa MCA dan MIC akan bertindak meninggalkan UMNO hanya semata-mata hubungan politik yang dijalinkan bersama dengan Pas.

“Kita akan bermesyuarat esok pagi. Saya akan bentangkan supaya ia juga akan diterima di peringkat rakan-rakan BN.

“Boleh jadi esok bukan sahaja UMNO dan Pas, mungkin BN-Pas serta rakan-rakan lain.

“Saya sudah bincang dengan rakan-rakan dalam BN sejak tidak jadi kerajaan. Setiap individu parti perlu berusaha memperkasakan parti masing-masing. Usaha UMNO adalah untuk lakukan kerjasama strategik dengan Pas, ia tidak meminggirkan rakan-rakan lain.

“MIC juga beri pengakuan mereka tidak ada halangan terhadap kerjasama UMNO-Pas. Saya rasa MCA juga tidak akan mempunyai apa-apa halangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast