KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menimbang cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) untuk mewajibkan sekurang-kurangnya satu atau dua daripada 12 vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.
Cadangan itu mewajibkan suntikan vaksin MMR (demam campak, beguk dan rubella) dan vaksin difteria akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengambilan vaksin ini dapat mencegah sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jenis penyakit
“Kementerian Kesihatan sudah menggerakkan task force (petugas khas) untuk memerhatikan perkara ini (isu vaksin) dari keseluruhan aspek dan dimensi kegunaannya. Bukan senang untuk melakukan mandatori kerana ia ada kesan legal yang lain.
“Komitmen kementerian ini untuk memastikan perkara itu dilalui terlebih dahulu dan akhirnya kita dapat mencari kaedah yang teras utamanya adalah terbaik untuk pesakit.
“Banyak cara dan opsyen tetapi komitmen KKM untuk tidak kompromi terhadap kesihatan kanak-kanak,” katanya katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Malaysia 2019 di Hotel Istana hari ini.
Dzulkefly menjelaskan, KKM juga mahu memastikan kes kematian kanak-kanak yang tidak diberikan vaksin tidak berulang lagi.
Diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan bahawa kepentingan imunisasi dan pendidikan kepada kanak-kanak adalah dua perkara berbeza, Dzulkefly berkata, Dr Maszlee Malik mendakwa kenyataannya itu telah disalah lapor. -MalaysiaGazette