KUALA LUMPUR – Penerjun negara, Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri terpaksa berpuas hati selepas menamatkan saingan di tempat keempat di Kejohanan Siri Dunia Terjun FINA 2019 di Beijing, China.
Beijing merupakan kejohanan kedua selepas Siri Dunia Terjun FINA 2019 di Sagamihara, Jepun, yang berlangsung minggu lepas.
Dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional yang juga dikenali sebagai ‘Water Cube’ hari ini, gandingan negara itu mengutip 305.76 mata selepas menamatkan lima terjunan, 7.38 mata di belakang penerjun Kanada Meaghan Benfeito-Caeli McKay yang meraih pingat gangsa.
Pandelela-Nur Dhabitah pada mulanya melakukan terjunan konsisten dan hampir menghadiahkan pingat gangsa buat skuad terjun negara dengan mengumpul 170.40 mata.
Namun, gandingan negara sedikit goyah pada terjunan keempat dengan kutipan 64.32 mata, sekaligus membolehkan pasangan dari Kanada memintas mereka dengan 75.84 mata, manakala pingat emas menjadi milik pasangan penerjun dari China iaitu Lu Wei-Zhang Jiaqi dengan 354.06 mata, dan perak diraih pasangan Kim A Rim-Kim Mi Rae dari Korea Utara dengan 325.80 mata.
Nur Dhabitah akan bergandingan dengan Kimberly Bong dalam acara 3m papan anjal seirama wanita petang ini dan Muhammad Syafiq Puteh dalam 3m papan anjal seirama campuran (esok), manakala Pandelela pula turun beraksi dalam acara 10m platform individu wanita pada Ahad. – MalaysiaGazette