Pengarah Urusan Tamil Malar Daily bergambar bersama peguamnya, M. Manoharan (tiga kiri) dan Penasihat Undang-Undang Tamil Malar Daily, Saraswathy Kandasami (dua kiri) pada sidang media mengenai saman yang difailkan Pengerusi Kuil Mariamman Batu Caves, Tan Sri Nadarajah di Pejabat Tamil Malar Daily, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Penahanan tiga individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam bergelar Tan Sri mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat India, yang berkemungkinan berlakunya penyewelengan dana kuil dan dana awam.

Syarikat penerbitan akhbar berbahasa Tamil, Tamil Malar membangkitkan persoalan mengapa mengapa tiada tindakan diambil terhadap laporan polis yang dilakukan sejak tahun 2017.

Menurut Penasihat Undang-Undang Tamil Malar, Saraswathy Kandasami, pihaknya yang pernah disaman oleh ‘Tan Sri’ berkenaan kerana menyiarkan bahan berita berkaitan kes beliau antara 2015 hingga 2017.

Jelas Saraswathy, lelaki berusia 75 tahun itu juga telah menang kes tersebut dan mahkamah telah memerintahkan Tamil Malar membayar gantirugi dan kos sebanyak RM790,000 kepada Tan Sri berkenaan.

“Kita telah kemukakan rayuan untuk kos serta ganti rugi itu dan kesnya masih lagi berjalan. Namun apa kami mahu bangkit di sini, adakah wang kuil telah digunakan untuk membiayai kes-kes guaman selama ini?

“Hakikatnya, ini adalah dana awam yang telah diberikan oleh rata-rata rakyat dalam kalangan masyarakat Hindu bagi kegunaan kuil untuk tujuan keagamaan serta pendidikan sahaja.

“Sehingga kini, kami mendapat tahu sebanyak RM1.5 juta telah dibelanjakan bagi tujuan kos perundangan terutamanya dalam kes saman menyaman ini, pihak kami juga telah menghantar dokumen lengkap kepada PDRM untuk siasatan namun tidak ada apa-apa tindakan atau laporan berhubung isu ini.

“Malah ketika kes kami sebelum ini, pihak kuil pernah membuat pengakuan terbuka pengurusan kuil membayar untuk kos perundangan walhal wang milik kuil bukan untuk tujuan seperti ini.

“Kita mahu sedikit penjelasan berhubung perkara ini, masyarakat di luar mahu tahu kerana yang memberi sumbangan saban tahun khasnya kepada kuil Sri Subramaniyar ini adalah orang awam, adakah wang ini diuruskan dengan betul,” katanya dalam sidang media.

Dalam pada itu, Saraswathy juga melahirkan rasa hairan bagaimana jawatangkuasa kuil sehingga kini masih lagi mengunci mulut dan tidak langsung bercakap tentang penahanan tersebut dan memberi pencerahan terhadap apa yang sudah berlaku kepada umum.

“Sudah lebih tiga hari, namun tidak ada apa-apa dari jawatankuasa kuil. Adakah hanya ada satu ‘suara’ untuk jawatankuasa ini? Saya sebenarnya tidak faham, ramai di luar mahukan penjelasan,” katanya.

MGF06032019_PC TAMIL MALAR DAILY_04
Penasihat Undang-Undang Tamil Malar Daily, Saraswathy Kandasami bercakap pada sidang media mengenai saman yang difailkan Pengerusi Kuil Mariamman Batu Caves, Tan Sri Nadarajah di Pejabat Tamil Malar Daily, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 MAC 2019

Baru-baru ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) merampas wang tunai lebih RM1 juta, beberapa barangan kemas dan jam berjenama yang jumlahnya tidak dipastikan dalam serbuan di kediaman Tan Sri itu pada jam 7.45 malam, Isnin lalu.

Menurut sumber, wang itu dipercayai baki bagi pembinaan banglo miliknya yang diberikan pemaju untuk projek pembangunan tanah berkenaan.

Sebelum ini, seorang pemimpin PKR menggesa SPRM menyiasat pengurusan sebuah kuil berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan dan penderma.

Kuil tertua di Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Bandar itu diuruskan Lembaga Pengurusan Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam.

Lembaga kuil berkenaan turut menguruskan Kuil Batu Malai Sri Subramaniar di Batu Caves dan Kuil Kortumalai Vinayagar di Persiaran Maybank. – MalaysiaGazette