Foto Instagram Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu dia memberi kebebasan kepada pereka fesyen untuk berkarya dan tidak pernah menggangu hasil kerja mereka.

Justeru Siti, 40, berkata, dia sengaja mahu melihat komen-komen netizen yang dikatakan bijak mengkritik fesyennya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana ini, netizen yang gemar memberi komen serta kritikan terhadap rekaan pakaiannya tetapi tidak tahu pereka fesyen juga berasa gementar untuk menghasilkan setiap busananya mengikut tema setiap acara atau majlis.

“Saja nak tengok komen orang bijak pandai fesyen… Yang melampau saya sekat. Jangan marah aaa. Saya saja bagi pereka fesyen berkarya dan saya tak kacau pun sebab dia ikut tema.

“Korang (kau orang) ingat semua pereka fesyen tak ketar ke nak buat untuk Siti Nurhaliza? Sebabnya yang rasa lebih hebat daripada pereka fesyen tu ramai nak beri komen.

“Sayang tu saya faham tapi… Berpada-pada la ya,” tulis Siti di Instagramnya.

Kelmarin, Siti muncul memakai busana berwarna rekaan Ridzuan Bohari di malam CIMB Islamic X Maher Zain yang mengundang kritikan netizen yang beranggapan rekaan tersebut tidak sesuai dengannya.

Bagaimanapun, ada segelintir pengikut di laman sosial seperti tidak percaya kenyataan tersebut ditulis oleh penyanyi tersohor itu.

Sebelum ini, busana Siti ketika mengadakan konsert jelajah di Jakarta, Indonesia menerima kritikan daripada seorang pereka fesyen baharu yang menganggap ia sudah lapuk dan tidak sesuai dengan kehebatan namanya.

Namun, Siti memberitahu dia tidak kisah dengan pandangan terhadap perkara tersebut kerana apa yang paling penting dirinya selesa memandangkan perlu banyak pergerakan di pentas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast