Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Ahmad Yazid Othman bercakap pada sidang media untuk menyatakan sokongan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkenaan agenda bumiputra di Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 08 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memandang serius isu pembayaran lewat projek kerajaan kepada kontraktor yang masih berlarutan sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, senario itu memberi kesan kepada kontraktor Bumiputera yang bergantung kepada aliran tunai yang tinggi untuk meneruskan perniagaan mereka.

Jelas beliau, walaupun isu pembayaran lewat itu bukan benda baharu berlaku sejak kerajaan sebelum ini, MTEM berharap isu itu dapat ditangani dengan selera.

“Kami tidak menafikan pertukaran kerajaan menjadi punca isu pembayaran projek terus berlarutan dan menjadi semakin serius. Namun masalah birokrasi juga menjadi faktor sampingan kepada kelewatan itu.

“Bayaran lambat ini menjadi isu sensitif kepada kontraktor Bumiputera kerana memberi kesan negatif dan mengikis kepercayaan di kalangan vendor. Justeru MTEM berharap proses pembayaran projek kerajaan dapat dipercepatkan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama MTEM di sini hari ini.

Abdul Yazid menambah, MTEM turut mendapat pelbagai luahan di kalangan ahlinya mengenai isu yang melanda kontraktor Bumiputera ketika ini.

Menurutnya, antara isu yang diutarakan adalah penawaran tender yang semakin kurang sekaligus menjejaskan golongan kontraktor Bumiputera yang rata-rata bergantung kepada perolehan kerajaan.

“Pada masa sama, terdapat penawaran tender dengan nilai yang besar dan menyukarkan kontraktor Bumiputera yang tidak memiliki modal besar serta boleh menggalakan gejala ‘Ali Baba’.

“Selain itu, terdapat tender yang sebelum dibuka kepada kontraktor Bumiputera telah dibuka kepada kontraktor bukan Bumiputera.

“Lebih mengejutkan, ahli-ahli kami turut merungut kerana terdapat syarat-syarat baharu di dalam tender yang diperkenalkan yang menambah kos kepada kontraktor di sebalik kekurangan tender,” katanya.

Abdul Yazid berharap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin dapat menterjemahkan agenda Bumiputera yang selari dengan kemakmuran bersama menerusi dasar dan program yang praktikal.

“MTEM menyokong kenyataan Azmin sebelum ini selepas kekalahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Semenyih bahawa terdapat keperluan mendesak untuk memperkasakan agenda Bumiputera agar sokongan pengundi daripada golongan itu tidak terus berkurangan untuk PH,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast