Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (kiri) bersalaman dengan Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kanan) sambil diperhatikan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pejabat BN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan jawatankuasa khas peringkat negeri dan Parlimen bagi gabungan pembangkang itu menyelesaikan perbalahan dalaman yang wujud sebelum ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bagi memastikan tiada lagi parti komponen gagasan itu terpinggir daripada sebarang keputusan yang mempunyai kepentingan politik di negara ini.

“Kita bersetuju bersama-sama menubuhkan satu struktur jawatankuasa kerja untuk kita melihat pentadbiran BN di peringkat negeri dan Parlimen.

“Tiada lagi perkara nanti ada pihak-pihak yang berkecil hati, ada pihak merasakan dipinggirkan dan ada pihak merasakan mereka ini dominan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri Tan Sri A Vigneswaran.

Mohamad juga berkata, keluhan dan dilema yang dihadapi oleh parti komponen BN semasa dalam kerajaan sebelum ini perlu diselesaikan segera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Suatu kajian, struktur jawatankuasa mesti diadakan oleh BN bersama-sama untuk melihat cara untuk kita menstruktur semula gerak kerja parti untuk menyediakan parti berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Tidak kurang juga isu-isu yang dibawa oleh MIC, banyak perkara khususnya ketidakpuasan hati berkenaan isu-isu semasa BN dalam kerajaan dan perkara yang dilakukan oleh pihak eksekutif sebelum ini.

“Apa yang dilakukan oleh pihak eksekutif pada ketika itu melemahkan MIC dengan bantuan terus kepada India dan parti-parti lain.

“Keadaan itu tidak semasa Tun S. Samy Vellu sebagai presiden parti, semuanya tertumpu dan diuruskan oleh MIC,” katanya lagi. – MalaysiaGazette