Profesor Dr Ramlah Adam
Profesor Dr Ramlah Adam

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng tidak seharusnya rasa tercabar dengan kerjasama UMNO dan Pas kerana apa yang dilakukan oleh kedua-dua parti Melayu itu sama strateginya yang dilakukan oleh DAP.

Setiausaha Agung DAP itu mungkin terlupa bahawa parti itu turut mendapat sokongan padu oleh pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan 14.

Parti itu juga pernah bekerjasama untuk Pas untuk menarik orang Melayu malah DAP kini berjaya bekerjasama dengan serpihan pemimpin UMNO dan Pas melalui Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia sehingga menjatuhkan kepimpinan Barisan Nasional.

Lantaran itu, apakah bezanya jika UMNO dan Pas bekerjasama untuk mendapatkan sokongan orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk di Malaysia?

Pemerhati politik, Prof. Dr. Ramlah Adam berkata, Guan Eng sebenarnya amat sedar kekuatan dua parti orang Melayu itu mempunyai kuasa luar biasa dalam politik dan penyatuan agama dan bangsa itu sendiri.

Tetapi, kata Ramlah, dalam situasi ini, Guan Eng sepatutnya menyalahkan Pakatan Harapan (PH) kerana dasar-dasar dan tindak-tanduk mereka selama 10 bulan lalu telah ‘menakutkan’ orang Melayu sehingga tercetusnya kerjasama tersebut.

“Sejak 10 bulan lalu sama ada sedar atau tidak, kerajaan PH gagal menunjukkan hala tuju yang jelas, dasar-dasar yang dilakukan tidak menyokong Islam serta Melayu dan ini menakutkan orang Melayu tetapi masih bersabar.

“Lihat sahaja tindakan keras kepada penduduk rumah PPR di Pulau Pinang, isu ICERD, hina Melayu dengan mendakwa bangsa ini malasa. Ini semua dilihat memberi cabaran kepada kedudukan orang Melayu. Ia dilihat mencabuli kepada kedaulatan.

“Kerjasama Pas-UMNO ini kena pada masanya disebabkan situasi dicipta oleh PH,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Jelasnya lagi, pengisytiharan ‘perang’ oleh Guan Eng dalam memberi gambaran kerjasama UMNO-Pas juga bukan baharu kerana ia sudah dimanifestasi oleh parti itu apabila mahu memperjuangkan Malaysian Malaysia sejak penubuhan Malaysia lagi.

Sedangkan, katanya, kebimbangan Guan Eng itu tidak berasas langsung kerana UMNO dan Pas tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang meragukan tentang kerjasama mereka selain mengukukkan perpaduan ummah.

“Adakah kita pernah dengar UMNO-Pas mengisytiharkan apa-apa yang menggugat parti lain dengan kerjasama itu? Tidak ada. Ia semata-mata penyatuan Melayu dan mengukuhkan Islam dan ummah. Itu sahaja.

“Kerjasama politik itu biasa, seiring dengan prinsip demokrasi tidak salah,” ulasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast