Harith Iskander.

KUALA LUMPUR – Penganjur pertandingan Funniest Person in the World yang diadakan pada 2016 telah menfailkan saman ke atas pelawak Harith Iskander berjumlah AS$10 juta (RM40 juta).

Saman itu difailkan oleh syarikat Laugh Factory sebagai saman balas selepas Harith menyaman pihak tersebut atas dakwaan gagal melunaskan bagi wang kemenangannya berjumlah AS$70,000 (RM280,000) daripada AS$100,000 (RM400,000) selepas memenangi pertandingan itu.

Laugh Factory dalam saman tersebut meminta ganti rugi berhubung pelanggaran cap dagangan, penyelewengan rahsia perdagangan, pelanggaran kontrak, persaingan tidak adil dan gangguan disengajakan.

Hollywood Reporter melaporkan, menerusi dokumen mahkamah, Harith didakwa menciplak rahsia perdagangan manakala pemilik Laugh Factory iaitu Jamie Masada turut mendedahkan pelawak itu yang mendekati pihaknya untuk menyertai pertandingan itu.

Jamie mendakwa Harith menghubungi wakil Laugh Factory yang bertanya tentang membawa jenama itu ke Asia selain berhubung pertandingan tersebut.

Pihaknya turut menafikan melanggar sebarang perjanjian yang dibuat dengan Harith sebelum ini.

Dalam kertas tuntutan itu, Jamie turut mendakwa, Harith menawarkan untuk membuka kelab-kelab Laugh Factory di Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta selain mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ‘silent partner’ dalam perniagaannya.

Bagaimanapun usaha itu tidak pernah dilaksanakan dan pihak Laugh Factory mendakwa ia adalah penipuan.

Saman balas tersebut difailkan pihak Laugh Factory di mahkamah di California, Amerika Syarikat pada 27 Februari lalu.

Berhubung hadiah kemenangan Harith, Jamie mendakwa dia memberitahu Harith dalam surat bertulis bahawa pemenang mesti membuat sepuluh kemunculan di Amerika dan wang kemenangan itu akan dibayar sebanyak 10 kali dan mereka mendakwa Harith gagal memenuhi syarat itu selain menipu untuk menang.

Sementara itu, Harith dalam responsnya terhadap saman itu menafikan tuduhan mengaitkan dirinya dengan Najib adalah sama sekali tidak benar dan akan menyerahkan saman itu kepada peguamnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast