Razali Ismail

KUALA LUMPUR – Wanita belum berada dalam kedudukan yang setara dalam jawatan kepimpinan di setiap peringkat masyarakat.

Antara 100 syarikat terbesar di Bursa Malaysia, wanita yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sebanyak 23.2 peratus dan hanya 13.9 peratus di kerusi Parlimen.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, ini secara jelas menunjukkan perlu galakan yang tinggi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan.

“Angka ini belum mengambil kira jumlah remaja perempuan yang tidak boleh bekerja kerana berkahwin awal, di mana ia memberi impak untuk mereka menamatkan pendidikan,” kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail sempena sambutan Hari Wanita pada hari ini.

Menurutnya, wanita tidak boleh diharapkan untuk hidup dalam kehidupan yang ditetapkan sepenuhnya.

Halangan keinstitusian yang mengganggu pemerkasaan wanita ini amat penting untuk ditangani secara sistematik dan usaha ini perlu diterajui oleh Kerajaan.

Tambah Razali, dengan penyertaan kepada Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap
Wanita (CEDAW) pada tahun 1995, Malaysia mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk menggubal undang-undang bagi mengiktiraf Kesaksamaan Gender dan hukuman bagi Gangguan Seksual.

Malaysia mengambil tempoh 24 tahun untuk membuat keputusan bagi perlaksanaan program ini dan kedua-dua Rang Undang-undang (RUU) ini akhirnya dirangka melalui Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Ini merupakan langkah-langkah yang positif namun jawatankuasa CEDAW, SUHAKAM dan kumpulan yang
memperjuangkan hak wanita menggesa agar Kerajaan mempercepatkan penggubalan undang-undang ini, dan menyeru kerajaan untuk membentangkan kedua-dua RUU di dalam sidang Parlimen pada tahun ini.

Suhakam menyeru kedua-dua undang-undang ini dipanjangkan untuk perlindungan wanita dan kanak-kanak perempuan golongan rentan seperti komuniti Orang Asli, pelarian, pekerja asing dan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia.

Walaupun statistik boleh menggambarkan ketidaksaksamaan, kita harus mengakui bahawa wanita di Malaysia mempunyai peranan dalam mengurangkan bebanan akibat dari kemiskinan, di kawasan tekanan ekonomi yang memberi kesan kepada pendidikan.

Wanita perlu menggalakkan perubahan dan menarik minat golongan muda, bukan sahaja dalam menamatkan
pendidikan malah dalam menyemai semangat persaingan demi mengubah keadaan yang sedia ada.

Ini merupakan peranan-peranan yang belum dipenuhi sepenuhnya dan ia perlu dimiliki dan diperkasakan oleh semua wanita.

Razali menambah, dalam mencapai perkara ini, meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun tanpa pengecualian akan membolehkan remaja-remaja ini memberi fokus kepada pendidikan agar mereka mempunyai kebebasan dari segi kewangan, bergerak maju ke hadapan dan memperkasakan diri mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast