Marouane Fellaini. Foto Getty Images

KUALA LUMPUR – Pemain kebangsaan Belgium, Marouane Fellaini telah mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di akaun Twitter rasmi miliknya, Fellaini,31, menegaskan keputusan yang diambil itu bukanlah satu keputusan yang mudah.

”Selepas 12 tahun mewakili Belgium di peringkat tertinggi, saya memilih untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa.”

”Ia bukan merupakan keputusan yang mudah buat saya dan bukannya saya mengambil mudah tetapi saya merasakan ini merupakan masa yang tepat buat saya untuk mengundur diri dan memberikan peluang buat generasi Belgium akan datang untuk meneruskan tempoh yang cukup gemilang buat sejarah bola sepak Belgium,” katanya.

Antara kenangan yang menjadi ingatan pemain tengah tersebut adalah kejayaan membantu Belgium meraih tempat ketiga dalam saingan Piala Dunia 2018 di Russia dan juga meletakkan negara tersebut di tangga teratas ranking dunia ketika ini.

Fellaini mewakili negara saya sebanyak 87 kali dan menjadi sebahagian pada dua kempen Piala Dunia selain Kejohanan Piala Eropah buat Belgium.

Sepanjang menyarung jersi Belgium, banyak kenangan yang menyinari karier Fellaini termasuk bersama kelab Manchester United.

Namun selepas meninggalkan The Red Devils itu, Fellaini kini beraksi buat Shandong Luneng yang diletakkan satu kumpulan bersama Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2019. – MalaysiaGazette