KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa melahirkan rasa terkejut terhadap tindakan sekumpulan individu melaungkan ‘Hidup LGBT’ dalam perarakan sempena Hari Wanita Sedunia berhampiran pusat beli-belah Sogo pagi tadi.

Kumpulan tersebut juga membawa bendera berwarna pelangi yang menjadi simbol golongan berkenaan.

Menyifatkan perbuatan tersebut sebagai penyalahgunaan ruang demokrasi untuk mempertahankan perkara yang salah di sisi Islam, beliau menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri yang mempunyai kuasa perundangan untuk mengambil tindakan tegas.

Mujahid mengulangi pendirian kerajaan bahawa budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak akan diterima sama sekali di negara ini.

“Mana mungkin, kita mengiktiraf suatu perbuatan yang salah disisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Datuk Seri Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa

Menurut Mujahid, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menegaskan tentang perkara tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata, tiada permit dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut berikutan notis dikemukakan kepada polis kurang 10 hari dari tarikh dijadualkan iaitu 7 Mac lalu.

Bercakap kepada Berita Harian, katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan penganjur perhimpunan itu akan dipanggil polis untuk memberi keterangan.

Perarakan tersebut disertai kira-kira 1,000 orang dan antara yang terlibat beberapa pertubuhan wanita termasuk Women’s Aid Organization (WAO) dan Sisters In Islam (SIS).

Turut serta beberapa orang aktivis serta pelajar.

Sepanjang perarakan peserta menggunakan pembesar suara melaungkan ‘Hidup Wanita’, ‘Hidup LGBT’, `Jangan Kacau LGBT’.

Mereka antara lain menuntut kesaksamaan gender, hapuskan diskriminasi gender, hentikan perkahwinan kanak-kanak dan hentikan keganasan terhadap kaum wanita. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: 

PH jangan tunduk dengan LGBT