Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO kesal sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang berlangsung di ibu negara pagi tadi dicemari dengan kehadiran penyokong-penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Tindakan penyokong LGBT membawa bendera warna pelangi yang menjadi lambang kepada golongan tersebut sambil membawa sepanduk dan plakad yang menuntut hak mereka dikhuatiri akan menjadi punca kepada kerosakan institusi sosial yang lebih besar terhadap masyarakat di negara ini.

Justeru, Wanita UMNO menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar tidak tunduk dengan apa sahaja desakan kumpulan LGBT ini.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, golongan LGBT mempunyai hak seperti rakyat Malaysia yang lain tetapi hak kerajaan PH ialah menghalang mereka dari melakukan aktiviti tidak bermoral.

Sekiranya golongan LGBT diiktiraf dan bebas melakukan apa sahaja aktiviti mereka, maka golongan ini akan merasakan mereka benar dan dilindungi undang-undang.

Akibatnya nanti akan lahir pula generasi baharu dalam kalangan mereka, tambahnya.

Pada masa yang sama, Noraini berkata, golongan LGBT perlu faham majoriti rakyat di Malaysia menolak mereka kerana kerana gaya hidup songsang yang diamalkan golongan ini bertentangan dengan norma masyarakat. – MalaysiaGazette