KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengekalkan keputusan mereka untuk tidak membenarkan Perlis beraksi pada Kejohanan Piala Presiden (Bawah 21) dan Piala Belia (Bawah 19) pada musim ini setelah mengambil kira beberapa faktor.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi, dalam satu kenyataan berkata, pasukan Perlis gagal atau enggan untuk menyempurnakan pendaftaran minimum pemain dan pegawai sehingga ke tarikh tutup pendaftaran asal iaitu pada 15 Feb lalu.
Beliau memaklumkan Perlis turut gagal menyempurnakan pendaftaran minimum pemain dan pegawai walaupun kesemua pasukan telah diberikan tempoh lanjutan (tarikh baharu tutup pendaftaran pertama) iaitu pada 22 Feb lalu.
“Perlis gagal menyediakan perlindungan insurans kepada pemain dan pegawai selain gagal mengemukakan Sijil Perpindahan (SPN) bagi pemain,” kata Mohd. Yusoff yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM.
Beliau berkata Perlis telah beberapa kali memohon untuk diberikan tempoh lanjutan pendaftaran tetapi JKPT FAM berpendapat bahawa ia tidak seharusnya berlaku kerana pasukan-pasukan lain boleh menghormati atau mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan tanpa sebarang isu.
“Tindakan Perlis ini jelas menunjukkan bahawa mereka masih lagi belum bersedia untuk mengambil bahagian dalam kedua-dua pertandingan ini dan sekiranya dibenarkan untuk kekal, ia boleh mendatangkan masalah kepada pasukan lain dan pada masa yang sama memudaratkan pertandingan itu sendiri,” jelas Mohd Yusoff.
Beliau, bagaimanapun, berkata FAM bersetuju memberi kelonggaran kepada pemain dan pegawai Perlis untuk didaftarkan bermain dan berkhidmat bersama pasukan lain dalam Piala Presiden dan Piala Belia 2019 walaupun tarikh pendaftaran asal dan lanjutan telah pun berakhir.
Justeru, pasukan Piala Presiden dan Piala Belia 2019 yang masih mempunyai kekosongan dalam pasukan (tiada penambahan terhadap jumlah asal maksimum pendaftaran yang telah ditetapkan) adalah dibenarkan membuat pendaftaran pemain dan pegawai baharu terhad kepada bekas pemain dan pegawai pasukan Perlis bagi Piala Presiden dan Piala Belia 2019 sahaja, katanya.
Beliau memaklumkan jumlah pemain yang boleh didaftarkan adalah 20 sehingga 33 pemain berumur 19 tahun dan ke bawah bagi saingan Piala Belia dan jumlah sama (22 sehingga 33 pemain) berumur 21 tahun dan ke bawah bagi Piala Presiden.
Pendaftaran pemain dan pegawai kedua-dua pertandingan berkenaan akan bermula Isnin hingga Khamis depan.
Keputusan berkenaan dicapai pada mesyuarat JKPT FAM kali keempat bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette