Marina Mahathir

KUALA LUMPUR – Aktivis terkenal,  Datin Paduka Marina Mahathir ‘mengamuk’ dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan.

Malah Marina yang terkenal dengan kelantangan bersuara selain menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selama ini menyifatkan kedua-dua pemimpin itu sebagai misogyny atau benci perempuan.

Kata Marina dalam laman sosial Twitternya malam tadi, tindakan Mujahid dan Wan Saiful menyelar perarakan dilakukan oleh kaum hawa pada Hari Wanita itu sebenarnya tidak lebih daripada mengalihkan perhatian isu yang cuba diketengahkan oleh golongan itu.

Marina yang juga anak kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menganggap Mujahid mahu pun Wan Saiful bukan sahaja tidak mempunyai apa-apa yang positif langsung untuk diucapkan kepada kaum wanita.

“Misogny sebenranya bermaksud kebencian terhadap perempuan. Saya akan panggil ianya seperti ini kerana ini adalah maknanya.

“Adakah Mujahid dan Wan Saiful ada apa-apa positif yang boleh di ucapkan kepada kaum Hawa pada Hari Wanita? Memalukan betul untuk kami golongan wanita bukan sahaja undi anda sebaliknya juga berkempen untuk memenangkan kamu (PH) semua.

“Saya benar-benar fikir ada lelaki yang merasakan isu-isu berkaitan wanita ini sebenarnya remeh dan itu juga punca utama mengapa golongan ini merasakan tidak ada keperluan untuk menjawab apa-apa isu dibangkitkan oleh kami. Hakikatnya sikap ini menjejaskan kami.

“Wan Saiful dan Mujahid, adakah anda percaya bahawa wanita harus menanggung gangguan seksual? Adakah anda percaya bahawa perempuan dan anak perempuan patut mati ketika melahirkan anak? Adakah anda percaya bahawa wanita harus dibayar kurang daripada lelaki?

“Sebenarnya anda hanya cuba alih perhatian daripada isu sebenar, apakah isu yang sedang dan sentiasa dilalui oleh wanita sebenarnya, anda tidak mahu akui tentang kesemua tuntutan yang dibuat oleh wanita di negara ini ketika perarakan tempoh hari. Memalukan betul,” katanya.

Marina

Para pengguna Twitter itu juga mendapat maklumbalas pelbagai pihak yang hakikatnya menyokong ciapan Marina itu yang turut diletakan hastag #misogyny .

Ada pengguna menyokong serta melahirkan rasa tidak dengan segelintir pimpinan PH yang mereka undi kini tidak lebih daripada retorik serta omong kosong sahaja.

Tetapi pada masa yang sama, ada juga netizen tidak bersetuju dengan Marina sambil menyatakan pendiriannya tidak betul apatah lagi dengan arus kemodenan negara ini.

Marina mengulas tentang himpunan dan perarakan Women’s March yang diadakan hari ini, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti `Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.

Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut semalam, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut semalam.

Pada masa yang sama, Wan Saiful melahirkan rasa ‘jengkel’ tindakan mencampur aduk perakan hari wanita dengan LGBT di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, perjuangan menuntut hak kaum hawa adalah satu perkara yang dihormati dan disokong, namun mencampurkan perkara mulia tersebut dengan agenda LGBT adalah satu provokasi terhadap kestabilan negara.

Mujahid pula dilaporkan berkata para peserta perarakan itu tidak sepatutnya menggunakan acara itu untuk mempertahankan hak LGBT.

Malah kata menteri yang menjaga hal ehwal agama itu tindakan menyokong untuk komuniti LGBT oleh orang-orang yang menyalahgunakan demokrasi.

Kata Mujahid lagi, Perdana Menteri juga telah menyatakan pendirian kerajaan mengenai hak LGBT di Malaysia. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/09/mujahid-terkejut-tegaskan-lgbt-tidak-diterima-sama-sekali-di-malaysia/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast