Ahli Parlimen Cameron Hingland, Ramli Mohd Nor hadir pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2019 turut hadir Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Pengalaman 34 tahun sebagai anggota Polis Diraja Malaysia tidak membuatkan Ramli Mohd Nor kekok atau berasa janggal menyarung baju istiadat Parlimen sempena Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-14 hari ini.

Beliau tampil segak dan bersemangat selepas dipilih sebagai wakil rakyat Cameron Highlands dalam pilihan raya kecil kawasan tersebut pada 26 Januari lalu.

“Saya amat terharu tapi dalam pada itu saya kena faham bahawa tanggungjawab yang telah diberikan kepada saya oleh pengundi di Cameron Highlands amat penting untuk saya tunaikan.

“Saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin terutama sekali pembangunan di kawasan itu serta penjagaan alam sekitar,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ramli akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands esok.

Menurutnya, sebagai ahli Dewan Rakyat yang baharu, beliau telah mengemukakan kemukakan 10 soalan lisan dan lima soalan bertulis untuk dijawab kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Malah saya. akan turut serta dalam bahas di Dewan nanti,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands lalu, Ramli mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, M Manogaran yang memperolehi 8,800 undi, manakala calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.

Ramli yang memperoleh majoriti 3,238 undi adalah yang tertinggi sejakĀ pilihan raya umum pada 2008, 2013 dan 2018, iaituĀ 3,117 undi, 462 undi dan 597 undi. -MalaysiaGazette