Foto Kuala Lumpur Hawks.

KUALA LUMPUR – Yusri Che Lah bertindak profesional apabila melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini.

Tindakan itu diambil Yusri susulan prestasi buruk skuad The City Boys yang tewas semua lima perlawanan awal Liga Super musim ini dan berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Pengumuman itu dibuat oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menerusi laman Facebook rasmi Kuala Lumpur Hawks sebentar tadi.

“Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur merakam ucapan TERIMA KASIH kepada Yusri Che Lah sepanjang penglibatan beliau dalam membangunkan pasukan Kuala Lumpur !! Kuala Lumpur sentiasa menghargai Yusri Che Lah yang sentiasa berusaha melatih para pemain supaya mampu memberikan 100 peratus ketika beraksi.

“Perletakkan jawatan Yusri Che Lah sebagai Ketua Jurulatih Kuala Lumpur merupakan keputusan beliau sendiri dan beliau mahukan Kuala Lumpur meneruskan misi untuk kekal dalam Liga Super kerana ia adalah matlamatnya ketika sertai pasukan ibu kota.

“Sekali lagi, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur merakamkan jutaan terima kasih dan berdoa agar Yusri Che Lah terus berada dalam kancah bolasepak Malaysia sebagai jurulatih.

“Untuk makluman umum, Chong Yee Fatt akan mengalas tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih buat sementara sebelum Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur memutuskan pengganti Yusri Che Lah,” tulis kenyataan itu. – MalaysiaGazette