Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) pada menyampaikan anugerah kepada Pegawai Perubatan, Dr. Noor Amelia Abd. Rasid (kiri) sambil diperhatikan oleh Ketua Setiausaha KKM, Datuk Dr. Chen Chaw Min (tengah) di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kesihatan Malaysia Tahun 2018 di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 12 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Pengukuhan integriti dalam kalangan penjawat awam, khususnya warga Kementerian kesihatan, perlu ditekankan dan dilaksanakan secara berterusan demi menjamin perkhidmatan terbaik dan cemerlang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, isu integriti tidak hanya tertumpu kepada isu rasuah malah ia merupakan satu konsep yang lebih besar.

Katanya, amalan budaya kerja cemerlang adalah berkait rapat dengan integriti misalnya ketepatan waktu, penyampaian maklumat dan perkhidmatan yang segera, kerahsiaan maklumat, menepati janji, pergaulan antara rakan sekerja dan banyak lagi.

“Pengukuhan integriti dalam kalangan warga kementerian kesihatan perlulah didokong secara berterusan dengan penuh ikhlas dan semangat.

“Antara program pengukuhan integriti kakitangan kesihatan yang dilaksanakan ialah melalui unit integriti ialah bicara integriti, ikrar bebas rasuah, smart integriti dan lain lain.

“Insiden salah laku anggota organisasi bukan sahaja memberikan imej buruk dan menggugat integriti organisasi tetapi juga menjejaskan kemajuan sesebuah organisasi itu dalam jangka masa panjang umpama kata pepatah sebab nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya dalam ucapan Majlis Penyampaian Anugerah perkhidmatan Cemerlang 2018 di kementerian di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menambah, setiap ketua jabatan Kementerian Kesihatan perlu memainkan peranan masing-masing dengan bertindak ke atas kakitangan yang didapati melakukan perbuatan melanggar peraturan, garis panduan yang ditetapkan selain menunjukkan perbuatan tidak berintegriti.

Ujarnya, ketua jabatan perlu peka dengan petanda amaran seperti pegawai yang mempunyai gaya hidup mewah yang tidak sepadan dengan pendapatan bulanannya selain gagal menjelaskan punca perolehan harta dan kerap berurusan di luar tanpa sebab munasabah serta suka bekerja berseorangan.

“Tindakan berahsia mengenai tindakan pembekal atau kontraktor enggan berurusan dengan pegawai kecuali dengan pegawai tertentu sahaja antara ‘warning signs’ yang perlu diteliti serius dan ketua jabatan boleh melakukan ‘random integrity background check’ terhadap kakitangan di bawah seliaan masing-masing,” katanya sebelum meminta semua kakitangan berjanji supaya berkhidmat secara berintegriti. – MalaysiaGazette