ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Prestasi pasaran modal negara perlu dinilai berdasarkan keseluruhan tahun dan bukannya dalam tempoh-tempoh tertentu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keseluruhan tahun lalu Malaysia merekodkan prestasi baik.

“Sebab itu kita tidak boleh menilai (prestasi pasaran) pada tempoh singkat, kena lihat prestasi penuh,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab laporan Bloomberg bahawa bursa tempatan merupakan satu-satunya pasaran Asia yang merosot di rantau ini setakat hari ini.

Menurut laporan itu, penanda aras Bursa Malaysia telah susut lebih daripada satu peratus.

Singapura naik 5.0 peratus dan Indonesia 3.0 peratus.

Media itu melaporkan trend bursa tidak berubah kerana para pelabur masih menantikan inisiatif-inisiatif kerajaan untuk mengurangkan defisit bajet, memacu kuasa beli dan menurunkan rasuah.

Menurut laporan itu, ahli-ahli ekonomi meramalkan pertumbuhan negara kepada 4.5 peratus pada tahun ini berbanding 4.9 peratus sasaran awal kerajaan.

Unjuran itu mengambil kira tindakan kerajaan baharu yang melakukan ‘pembersihan’ – membatal dan menyemak semula projek berbilion dolar, selain menggantikan peneraju-peneraju syarikat milik kerajaan.

Tindakan-tindakan itu mempengaruhi pertumbuhan ekonomi pada tahun lalu kepada 4.7 peratus. – MalaysiaGazette