Noraini Ahmad
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pembangkang sebulat suara menamakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, hanya Noraini yang dicalonkan bagi menggantikan Datuk Seri Ronald Kiandee yang kini merupakan ahli Parlimen bebas.

Kiandee dilaporkan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lama lagi apabila parti itu melebarkan sayap ke Sabah.

“Kami telah setuju untuk mencalonkan Noraini sebagai Pengerusi baharu PAC. Kami cuma calonkan Noraini sahaja.

“Noraini telah bersetuju dan ia bergantung kepada kerajaan untuk membenarkan pelantikan itu atau ubah janji mereka,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Kiandee dilantik sebagai pengerusi PAC setelah kerajaan bersetuju jawatan itu diperuntukkan untuk pembangkang.

Bagaimanapun kata Annuar, pelantikan itu terserah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) samada untuk membenarkan Noriani menjawat jawatan itu atau sebaliknya.

“Ia terpulang kepada kerajaan untuk menetapkan sebarang tarikh bagi pengambilan alihan jawatan.

“Sebab janji mereka adalah Pengerusi PAC mesti daripada pembangkang sebab Ronald sudah menjadi bebas, dan akan menyertai Bersatu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette