Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia pada Januari 2019 ialah 74,638 tan metrik, meningkat 35.6 peratus berbanding 55,037 tan metrik pada Disember 2018.

Perbandingan dengan Januari 2018 menunjukkan pengeluaran getah asli turut meningkat 35.6 peratus.

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 49,797 tan metrik, naik 3.3 peratus berbanding 48,183 tan metrik pada Disember 2018.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, China merupakan destinasi utama getah asli dieksport iaitu 39.4 peratus daripada jumlah eksport pada Januari 2019 diikuti Jerman (16.3%), Iran (5.9%), Finland (4.9%) dan U.S.A (4.5%).

Stok getah asli yang direkodkan pada akhir Januari 2019 naik 14.4 peratus daripada 174,004 tan metrik pada Disember 2018 kepada 199,070 tan metrik.

Harga purata Lateks Pekat pada Januari 2019 ialah 393.29 sen sekilogram, naik 4.3 peratus manakala harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M.20) turut meningkat 5.8 peratus kepada 548.48 sen sekilogram berbanding dengan harga purata pada Disember 2018.

Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Januari 2019 ialah 43,452 tan metrik, pertambahan sebanyak 3.9 peratus berbanding 41,833 tan metrik yang dilaporkan pada Disember 2018.

Getah asli banyak digunakan dalam industri pembuatan sarung tangan getah dengan penggunaan sebanyak 32,386 tan metrik atau 74.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette