Gambar Hiasan

KANGAR – Pas Perlis akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) secara tanpa syarat.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, parti itu akan terus menyokong kerajaan BN, walaupun jika Kerajaan Penyatuan Ummah tidak dapat dibentuk oleh UMNO dan Pas.

Beliau berkata, Pas tidak kisah walaupun tidak dapat membentuk kerajaan, dan sebagai pembangkang, ia akan menyokong kerajaan negeri BN kerana apa yang dipentingkan ialah kebajikan rakyat.

“Walaupun Kerajaan Penyatuan Ummah dibentuk, Pas juga tidak akan meminta apa-apa jawatan kerana apa yang paling penting ialah kedua-dua pihak berusaha membentuk dasar yang memanfaatkan rakyat,” katanya kepada Sinchew Daily.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dianggap tidak sehaluan kali ini senada menyatakan sokongan kepada pembentukan Kerajaan Penyatuan Ummah yang dicadangkan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Azlan yang sedang berada di Mekkah bagaimanapun memerlukan masa untuk memahami hala tuju Kerajaan Penyatuan Ummah selepas berbincang dengan Mohamad.

Shahidan pula berkata, Pas dan UMNO telah mengadakan perbincangan lebih mendalam selepas menerima “restu senyap” daripada Mohamad untuk membentuk Kerajaan Penyatuan Ummah.

Beliau berkata, kedua-dua parti sebelum ini telah pun berbincang mengenai kemungkinan membentuk kerajaan campuran sebelum Kerajaan Penyatuan Ummah dibangkitkan lagi.

Ditanya sama ada hasrat Pas melaksanakan hukum hudud di Terengganu dan Kelantan akan menjelaskan hubungan kerjasama dengan UMNO, Shahidan berkata, kedua-dua parti harus bekerjasama terlebih dahulu sebelum berbincang secara mendalam hala tuju kerjasama yang dibentuk.

“Ia seperti satu perkahwinan, kami tidak boleh meletakkan syarat kereta dan rumah sebelum berkahwin.

“Kami harus berusaha untuk perkara-perkara ini selepas berkahwin,” katanya. – MalaysiaGazette