Pesawat 737 Max. foto Agensi

HAMILTON – Bermuda telah mengharamkan semua varian pesawat Boeing 737 Max dari ruang udara pulau itu selepas Max 8 terhempas di Ethiopia hingga mengorbankan 157 orang penumpang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Bermuda juga telah menggantung semua versi siri 737 Max yang tersenarai dalam Pendaftaran Pesawat Bermuda.

Langkah itu sejajar dengan tindakan pengawal selia udara di seluruh dunia yang menggantung operasi Max Boeing 737 di rantau mereka.

Jurucakap BCAA menjelaskan: “Berikutan tragedi penerbangan Ethiopia ET302 yang melibatkan pesawat Boeing 737 Max, BCAA mengambil setiap langkah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan penumpang.

“Penyiasatan kemalangan sedang berjalan dan terlalu awal untuk membuat kesimpulan punca kemalangan itu.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, BCAA telah menggantung Sijil Kebolehpercayaan Udara semua pesawat Boeing 737 Max pada Pendaftaran Pesawat Bermuda.

Beliau berkata, langkah itu berkuatkuasa pada 4 petang hari ini.

Sepanjang penggantungan itu, BCAA akan terus bekerjasama rapat dengan FAA dan Boeing.

Nahas yang membabitkan Ethiopian Airlines itu adalah tragedi kedua 737 Max 8 kurang dari lima bilan.

Tindakan sama juga telah diambil oleh Ethiopia, United Kingdom, Kesatuan Eropah, India, China, Perancis, Ireland, Jerman, Australia, Indonesia dan Malaysia.

Model Max terdiri daripada empat tetapi hanya dua sahaja yang beroperasi manakala bakinya akan digunakan beberapa tahun lagi. – MalaysiaGazette