WASHINGTON – Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) tidak akan menggantung pesawat Boeing 737 Max 8 meskipun menghadapi tekanan daripada Dewan Perwakilan Senat dan kesatuan-kesatuan pekerja.

FAA berkata, dalam kajiannya menunjukkan tidak ada isu prestasi sistemik, lantaran itu tidak ada sebab untuk menggantung penggunaan pesawat berkenaan.

Tekanan untuk menggantung pesawat itu susulan nahas membabitkan model pesawat itu milik Ethiopian Airlines yang membunuh 157 orang penumpang pada Ahad lalu.

Ia merupakan nahas kedua berlaku dalam tempoh lima bulan selepas pesawat sama milik Lion Air pada tahun lalu yang mengorbankan 187 orang penumpang.

Beberapa negara termasuk United Kingdom, China, Kesatuan Eropah dan China sudah pun menggantung pesawat itu daripada menggunakan ruang udara mereka.

Senator Republikan, Ted Cruz yang mempengerusikan jawatankuasa penerbangan dan ruang udara berkata, Amerika Syarikat sepatutnya menggantung sementara penggunaan pesawat itu sehingga FAA mengesahkan keselamatan pesawat dan penumpangnya.

Sementara itu, Senator Demokratik, Edward Markley dan Richard Blumenthal yang menulis surat kepada FAA turut meminta Boeing 737 Max 8 digantung sehingga syarikat itu dapat mengenal pasti bahawa pesawat berkenaan selamat untuk diterbangkan.

Elizabeth Warren pula berkata, Amerika Syarikat sewajarnya mengetuai tindakan melarang penggunaan pesawat berkenaan serta-merta.

Persatuan anak kapal, CWA turut membuat gesaan yang sama kerana bimbang akan keselamatan pesawat tersebut.- MalaysiaGazette