Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyarungkan lencana pangkat pegawai kanan polis kepada penerima, Nor Ainin Nuh (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Uzir Muhamed sebagai pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berdasarkan kedudukan paling kanan dan pengalaman lama beliau dalam jabatan tersebut.

Pelantikan itu berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pemilihan Uzir menggantikan Wan Ahmad Najmuddin kerana beliau sudah lama berkhidmat dalam JSJ sebagai Timbalan Pengarah Perisikan dan Operasi di Bukit Aman.

“Dia dilantik memangku pengarah JSJ menggantikan Wan Ahmad Najmuddin kerana senioriti kekananan dalam polis khususnya di JSJ. ini antara kriteria kita fikirkan melayakkan beliau,” katanya kepada pemberita di sidang media di Pusat Latihan Polis KL di sini.

MGF13032019_MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH, PEMAKAIAN PANGKAT PEGAWAI KANAN POLIS DAN PENGANUGERAH PINGAT JASA PAHLAWAN NEGARA12
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sambil diiringi Timbalan Ketua Polis Negara,Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bergambar kenangan bersama penerima-penerima pingat jasa pahlawan negara pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2019

Beliau hadir bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagi menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas, pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 93 angota dan pegawai polis pagi ini.

Ditanya mengenai pengarah tetap JSJ, katanya, pihak pengurusan tertinggi PDRM telah menghantar senarai calon yang disenarai pendek untuk mengisi jawatan yang ditinggalkan Wan Ahmad Najmuddin secara tetap nanti.

Wan Ahmad Najmuddin merupakan pengarah JSJ Bukit Aman ke-16 yang bersara hari ini selepas 16 bulan menyandang jawatan itu.

“Kita dah kemukakan kepada pihak kerajaan calon-calon yang mungkin layak pegang jawatan pengarah CID(JSJ). Jadi terpulanglah kepada kerajaan untuk menentukan siapa yang akan menjawat jawatan tersebut.

“Soalan bila itu.. kita kena tunggulah dari kerajaan, lagipun nama calon atau bilangan yang disenarai pendek tak perlu sebut di sini sebab kita ada proses dan sistem yang perlu akur.

“Kalau lagi cepat lagi baguslah (Pengarah Tetap).. kalau hari ini paling baik.,, tapi belum ada keputusan lagi. kita tunggu sahaja,” katanya sambil mengesahkan yang pasti beliau akan bersara wajib pada Mei ini tanpa perlanjutan kontrak apabila ditanya pemberita lagi. – MalaysiaGazette