Osman Sapian
Menteri Besar Johor, Osman Sapian. foto IQBAL BASRI, 11 DISEMBER 2018

JOHOR BAHRU – Situasi pencemaran berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang, setakat ini terkawal dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Osman yang mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hampir tiga jam tadi berkata, rakyat juga diminta jangan mempercayai serta menyebar maklumat-maklumat tidak benar yang tular sebaliknya sentiasa mengikuti informasi yang betul dari saluran yang benar.

“Kita lihat…menerusi laporan jabatan-jabatan yang terlibat, ini bukan suatu perkara yang kita boleh anggap sehinggakan kita kena insytihar darurat dan sebagainya. Tidak. Jauh daripada itu. Dalam keadaan terkawal,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini.

Menteri Besar juga meminta agar masyarakat bertenang dan memberi kerjasama penuh dan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk mengurus bencana ini dengan cekap, cepat dan selamat.

“Ketika ini kita tidak perlu menunding jari dan cari salah mana-mana pihak dan cuba bermain politik kerana fokus utama adalah untuk kerja-kerja pengawalan pencemaran dan mengurus serta merawat pesakit-pesakit yang terkesan dengan pencemaran ini,” kata beliau. – Bernama