Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meluluskan sebanyak 164 syarikat untuk mendapatkan lesen import (AP) daripada 300 permohonan yang diterima.

Daripada jumlah itu sebanyak 36 adalah syarikat baharu.

Pelaksanaan dasar baharu AP terbuka bermula pada 1 Januari tahun ini selaras dengan dasar kerajaan untuk meneruskan meneruskan dasar ini dengan beberapa penambahbaikan yermasuk memberi peluang kepada usahawan Bumiputera baharu.

AP terbuka adalah kemudahan import permit yang diberikan oleh MITI khusus untuk syarikat-syarikat Bumiputera yang layak untuk mengimport kenderaan terpakai untuk dijual di pasaran domestik.

Syarikat-syarikat ini tertakluk kepada syarat-syarat pematuhan dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh MITI.

Di antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi ialah syarikat mesti dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera, termasuk jawatan-jawatan penting di peringkat pengurusan, mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 2 tahun dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

MITI berkata, di bawah dasar baharu ini, tiada had untuk keseluruhan AP yang akan diluluskan sepanjang tahun.

Semua syarikat sama ada sedia ada atau baharu, boleh memohon tambahan AP berdasarkan prestasi jualan.

Pada masa ini, kebanyakan syarikat baharu masih belum beroperasi sepenuhnya kerana perlu memenuhi beberapa
keperluan teknikal dan sedang membuat persiapan pengendalian operasi.

Menurutnya, dasar baharu yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Januari 2017 ditangguhkan selama hampir dua tahun berikutan keadaan pasaran domestik automotif yang tidak menentu.

Proses pemantauan dan pengauditan ke atas syarikat-syarikat AP terbuka ini akan dilakukan berterusan oleh MITI.

Katanya, di bawah dasar baharu ini, sekiranya MITI mendapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana syarat AP terbuka yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil termasuk:
i) menarik balik atau membekukan AP yang telah diperuntukkan dan diluluskan;
ii) menyenarai hitam syarikat termasuk setiap pemegang saham dan ahli
lembaga Pengarah syarikat daripada mengemukakan apa-apa permohonan
memperolehi AP Terbuka pada masa hadapan; dan
iii) mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat.

Pada 2018, MITI telah menyenarai hitam 9 syarikat sedia ada kerana tidak mematuhi syarat. – MalaysiaGazette