Calon Pakatan Harapan DUN Rantau PRU 14, Dr. Streram Sinnasamy.

SEREMBAN- Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat akan menubuhkan Pasukan Khas Media Sosial yang akan berfungsi menangkis fitnah dan provokasi yang dilemparkan pihak tertentu terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Naib Ketua AMK S. Thiban berkata selain menangkis fitnah, pasukan itu juga ditugaskan untuk mengumpul bahan-bahan fitnah di media sosial dan akan menyerahkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai yang menerima atau terbaca tentang apa-apa fitnah atau dakwaan atau kenyataan yang berunsur perkauman bolehlah menyalurkannya di Facebook khas yang akan kita wujudkan ini atau melalui aplikasi Whatsapp yang akan diumumkan nanti,” katanya dalam sidang media di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya AMK Negeri Sembilan S. Sugumaran dan Anggota Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau, Norazizi A. Aziz.

Dalam pada itu, Thiban berkata AMK yakin Dr Streram yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau mampu memperoleh kemenangan pada PRK DUN Rantau berdasarkan kajian lapangan yang telah dilakukan pihaknya.

Dr Streram tidak dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon dan lantaran itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.

Berikutan itu, pada 23 Mei tahun lepas, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon pilihan raya DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Susulan itu, Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Nov memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta-merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6 Mac lepas mengumumkan PRK DUN Rantau akan berlangsung pada 13 April ini dengan hari penamaan calon pada 30 Mac, manakala pengundi awal pada 9 April.

DUN Rantau memiliki seramai 20,926 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu, 55.11 peratus adalah Melayu, Cina (18.80 peratus), India (26.06 peratus) dan lain-lain, 0.02 peratus.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast