Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima resolusi persidangan dari wakil peserta pada Persidangan Meja Bulat Belia di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan kementeriannya akan merekrut dua lagi bekas banduan dalam kalangan belia untuk diberikan peluang kedua.

Jelas beliau, kedua-dua bakal kakitangan KBS itu adalah bekas banduan penjara yang bertujuan untuk menggalakkan majikan daripada pelbagai sektor untuk memberi peluang kepada golongan berkenaan.

“Kita anggarkan mereka akan masuk dalam bulan ini juga. Kita tengah tunggu pengesahan daripada Jabatan Penjara untuk mengambil mereka berkerja.

“Saya tak nak mereka hanya jadi orang yang mengisi kekosongan tanpa buat apa-apa. Mereka akan ada projek yang harus mereka kendalikan,” katanya selepas menerima Resolusi Meja Bulat Penglibatan Belia dalam Sektor Korporat di Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia petang tadi.

MGF14032019_Persidangan Meja Bulat Belia_12
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Belia di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 MAC 2019

Ia susulan kejayaan Projek Reben Kuning yang direalisasikan pada Oktober tahun lalu dalam memberikan harapan kedua kepada bekas banduan.

“Namanya saudara Imam, di mana dia bekas penghuni Sekolah Henry Gurney. Salah seorang anak muda berwawasan, bijak, dan saya bernasib baik dia dalam pasukan saya,” katanya.

Ia merupakan satu inisiatif KBS dengan kerjasama Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri serta badan-badan bukan kerajaan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat seterusnya meningkatkan sistem sokongan terhadap bekas banduan.

Bekas banduan yang telah tamat menjalani hukuman itu akan berkhidmat dibawah Syed Saddiq dalam tempoh masa tertentu yang akan ditetapkan kemudian.

Justeru, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) itu berkata, stigma negatif masyarakat yang bekas banduan perlu dijauhi adalah salah dan tidak perlu menilai mereka daripada sejarah silam mereka semata-mata. – MalaysiaGazette