KUALA LUMPUR – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, sumbangan itu membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa yang terbabit dalam operasi memperlengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan diperlukan.
“Tuanku Sultan ada membincangkan perkara ini dengan saya sebagai Penasihat DiRaja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan baginda juga amat tersentuh apabila mendengar sebuah klip rakaman, di mana seorang lelaki menangis sambil meminta bantuan menyelamatkan anaknya.
“Tuanku Sultan turut berpendapat dengan kurniaan sumbangan peribadi baginda, ia dapat membantu pihak berkuasa serta agensi penyelamat seperti Bomba dan Penyelamat serta polis memperlengkapkan pasukan mereka demi membantu rakyat,” titah DYMM Permaisuri Johor kepada Royal Press Office hari ini.
Semalam, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dilaporkan berkata, semua sekolah di Pasir gudang, Johor diarah tutup serta merta berikutan berikutan pencemaran kimia Sungai Kim Kim yang telah menjejaskan kesihatan pelajar di kawasan terbabit sejak beberapa hari lalu.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, semua pelajar, guru, kakitangan dan pekerja sekolah terbabit tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih.
“Berdasarkan kepada situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menutup semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang berkuatkuasa serta merta pada hari ini (13 Mac 2019) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” kata Dr. Maszlee.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Sultan Johor murka dan kesal terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kes pembuangan bahan kimia ke Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga memberi kesan kepada murid, pelajar serta orang awam.
Baginda Tuanku Sultan mahu pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden itu serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu. – MalaysiaGazette