BANGI – Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menyelar sikap netizen yang cuba menimbulkan kontrovesi berhubung pertemuannya dengan pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik.
Menurutnya, tidak ada isu pun yang boleh dibangkitkan hasil pertemuan dengan pendakwah dari India itu.
Pertemuan tersebut sememangnya sudah dijadualkan dan hasil perjumpaan itu mereka bertukar-tukar pandangan berhubung isu media sosial yang penuh dengan pelbagai kepalsuan serta cara bagaimana untuk menanganinya.
“Sebagai seorang menteri yang nak jaga kita punya realiti dan kepelbagaian, tiada isu pun.
“Netizen ini mereka boleh timbulkan apa saja. Bagi saya, daripada awal tiada isu tapi sudah mereka mainkan macam menteri agama ini teruk sangat, benci kepada Zakir Naik, sebenarnya tiada apa pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Gagasan Rahmatan Lil’alamin di Dewan Institut Latihan Islam Malaysia di sini hari ini.
Mujahid diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Zakir yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya semalam.
Gambar yang dikongsikan oleh Mujahid itu mendapat reaksi daripada warganet apabila ada dalam kalangan mereka mempersoalkan pendiriannya terhadap Zakir yang pernah dibidasnya sebelum ini.
Pada September tahun lalu, Mujahid dalam satu majlis di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) membidas Zakir kerana dilihat menggunakan kaedah berdakwah dengan sering menghina dan merendah-redahkan agama selain Islam.
Menurut Mujahid, di negara ini kaedah perdebatan dengan mencaci agama orang lain adalah tidak sesuai.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Mujahid sekali lagi berkata, warga alam maya cuba mengembar-gemburkan isu mengenai kenyataannya yang dipetik pada majlis tersebut.
Katanya, sukar untuk melayan rumusan individu terhadap perkara itu kerana dan ia harus dinilai dari sudut yang positif.
“Yang penting kejujuran kita dalam usaha ini adalah bila jumpa dengan semua orang kita akan bercakap apa hasrta kerajaan nak buat.
“Orang nak kata apa saya tak boleh komen lebih daripada itu,” ujarnya.
Pada perkembangan sama, Mujahid mengelak daripada menjawab pertanyaan berhubung kenyataan peguam Latheefa Koya yang menyindirnya agar beliau menyertai semula Pas.
Kenyataan Latheefa itu dipercayai mempunyai kaitan dengan gambar yang dimuat naik oleh Mujahid mengenai pertemuannya dengan Zakir.
“Teruskan usahamu tuan menteri, pada tahap ini anda boleh menyertai semula Pas tidak lama lagi,” ciap pengarah eksekutif Lawyers For Liberty di Twitter.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/13/mujahid-zakir-naik-bincang-3-gagasan-islam/