Mahathir
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas majlis Penyerahan Kad Keahlian Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak boleh memerangi keganasan mengguna pakai kaedah sama untuk berdepan dengan peperangan konvensional.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana keganasan tiada sempadan dan tiada sesiapa pun mengetahui dari mana serangan akan dilancarkan.

“Keganasan tiada sempadan, kita tidak boleh tahu mana mereka lancarkan serangan.

“Saya sebenarnya ada tulis surat kepada Perdana Menteri England mengatakan kita tak boleh lawan keganasan seperti kita melawan perang konvensional.

“Cara terbaik untuk menangani keganasan ialah dengan memahami kenapa mereka mengganas dan cuba membuang alasan keganasan.

“Kita tak boleh menjamin mereka boleh muncul di sini atau di sana,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Beliau mengulas serangan bersenjata secara rambang yang dilancarkan seorang lelaki telah mengakibatkan  49 maut dan ramai tercedera di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Lelaki itu dipercayai warganegara Australia melepaskan tembakan ke arah jemaah masjid berkenaan ketika umat Islam sedang bersiap sedia untuk solat Jumaat, kira-kira jam 1.30 tengahari, hari ini.

Dr Mahathir juga berkata, Malaysia bernasib baik kerana aktiviti keganasan berjaya dikesan lebih awal sebelum serangan dilancarkan.

“Malaysia amat bernasib baik kerana perisikan kita sangat baik (cekap).

“Kita tahu siapa mereka, kita tahu pergerakan mereka dan kita ada tahan beberapa pengganas dan cuba didik mereka semula,” katanya. – MalaysiaGazette