Muhammad Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mencadangkan penubuhan sebuah universiti khusus bidang perikanan di negara ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, universiti itu kini ada di Jepun menerusi National Fisheries University dan di China dengan nama Shanghai Ocean University.

Beliau berkata, walaupun di Malaysia ada beberapa institusi pengajian tinggi awam menawarkan kursus berkaitan perikanan, tetapi kewujudan universiti yang dicadangkan itu mampu memberikan lebih banyak peluang kepada anak nelayan melanjutkan pengajian dalam bidang warisan mereka.

“Universiti ini juga mampu mewujudkan lebih banyak penyelidikan mengenai perikanan, selain mendedahkan lebih banyak ilmu mengenai teknologi perikanan.

“Ia seiring dengan Revolusi Industri 4.0 untuk diaplikasikan dalam memodenkan industri perikanan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sementara itu, Muhammad Faiz berharap Kementerian Pendidikan dapat memberikan kuota khas kepada anak nelayan yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini katanya, bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke universiti awam yang menyediakan Program Pengajian Sains Laut.

“Langkah ini penting kerana pendidikan mampu mengubah sosio-ekonomi nelayan pada masa hadapan dan seterusnya mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara nelayan dan rakyat.

“Dalam usaha memodenkan nelayan dan industri perikanan, pendidikan dan kemahiran teknologi canggih adalah elemen penting yang perlu diberikan penekanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau bagi pihak LKIM mengucapkan tahniah dan syabas kepada anak nelayan yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang SPM semalam.

Katanya, bagi yang tidak mendapat keputusan diharapkan, perlu terus berusaha bagi mencapai kejayaan di masa depan. – MalaysiaGazette